KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Aidilfitri, transaksi kiriman wang dari Malaysia ke negara yang mempunyai lebih ramai penduduk Islam seperti Indonesia dan Bangladesh mencatat peningkatan ketara, memperlihatkan hasrat untuk berhubung dengan orang tersayang sebelum perayaan bermula.
Pengendali perniagaan perkhidmatan wang terbesar di Malaysia, Merchantrade Asia Sdn Bhd merekodkan transaksi kiriman wang lebih setengah bilion ringgit sepanjang Ramadan tahun lepas dan trend itu dijangka berterusan pada tahun ini.
Menurut Research and Market, pasaran kiriman wang masuk antarabangsa di Malaysia meningkat 2.9 peratus pada 2022 untuk mencapai AS$1.63 bilion (AS$1=RM4.74) pada 2023.
Pasaran kiriman wang keluar antarabangsa di Malaysia turut menokok sebanyak 2.1 peratus pada 2022 untuk mencapai AS$8.94 bilion pada 2023.
Katanya sepanjang tempoh ramalan (2023-2028) ini, saiz pasaran dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 1.7 peratus, meningkat daripada AS$8.76 bilion pada 2022 untuk mencapai AS$9.72 bilion menjelang 2028.
Menurut laporan itu, pasaran kiriman wang global bernilai AS$738.62 bilion pada 2023 dan dijangka mengunjurkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh ramalan dengan CAGR 5.78 peratus hingga 2029, mencecah AS$1031.45 bilion.
Infrastruktur kukuh
Pengarah Urusan Merchantrade Asia Ramasamy K. Veeran berkata Merchantrade telah membuat pelaburan dan membina infrastruktur yang kukuh untuk memastikan transaksi yang lancar.
Dengan 95 cawangan dan lebih 480 lokasi ejen di seluruh negara, kaedah titik sentuh fizikal Merchantrade adalah lengkap untuk menyokong jumlah pelanggan yang semakin meningkat.
"Sebagai persediaan, cawangan Merchantrade masih dibuka pada hujung minggu, dengan sumber tambahan yang dimanfaatkan ke cawangan utama untuk mengendalikan kedatangan ramai pelanggan pada hujung minggu.
"Ini merupakan waktu penting untuk pelanggan Islam kami di seluruh negara, dan kami gembira dapat membantu mereka," katanya kepada Bernama sambil memaklumkan permintaan yang meningkat di cawangan Merchantrade di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang dan Inanam, Sabah.
Walaupun cawangan ini terletak strategik di kawasan yang ramai penduduk migran, Merchantrade turut menguruskan cawangan di kawasan luar bandar untuk menyediakan akses mudah kepada perkhidmatan kiriman wang memandangkan penyedia perkhidmatan kiriman wang rasmi yang terhad.
Dengan beroperasi menerusi model hibrid, syarikat itu telah melabur lebih awal untuk membina platform dalam talian yang selamat serta mendidik pelanggan mengenai kaedah menggunakannya.
Antara platform digital syarikat itu yang memenangi anugerah untuk pemindahan kiriman wang yang mudah, selamat dan pantas adalah Merchantrade Money (e-dompet berasaskan kad dan Kad Prabayar Visa), Valyou (e-dompet berasaskan rangkaian) dan eRemit Malaysia (perkhidmatan pindahan wang digital sepenuhnya).
"Kebolehcapaian ini penting kepada pelanggan melibatkan pelbagai industri antaranya pembinaan, perladangan dan pembuatan, yang kebanyakannya tinggal dan bekerja di kawasan terpencil atau luar bandar di seluruh Malaysia.
"Selalunya, mereka terpaksa membuat perjalanan yang jauh, malah mengambil sehari cuti bekerja untuk mengunjungi penyedia perkhidmatan kiriman wang rasmi yang terdekat.
"Dengan platform kiriman wang digital Merchantrade, mereka kini boleh menghantar wang ke negara mereka dengan mudah kepada yang tersayang tanpa perlu keluar rumah," kata Ramasamy.
Beliau berkata pada 2023, kiriman wang digital melalui saluran berkenaan menyaksikan peningkatan ketara hampir 20 peratus bulan ke bulan terutama pada Mac menjelang Syawal, dengan yang tertinggi adalah Bangladesh dan Indonesia.
Impak sosial kiriman wang
Memandangkan Malaysia telah menjadi tempat tinggal kepada lebih dua juta pekerja asing yang mempunyai dokumen dari negara jiran, yang menyaksikan Indonesia dan Bangladesh mempunyai populasi migran terbesar di negara ini, terdapat keperluan penting untuk membantu golongan ini menyara keluarga di negara mereka.
Sebagai penyedia utama pendapatan, kiriman wang yang dihantar ini dimanfaatkan untuk keperluan seperti makanan, penyelenggaraan isi rumah, pakaian, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembayaran balik pinjaman.
Ramasamy turut menekankan mengenai keperluan untuk membantu pelanggan berhubung dengan keluarga mereka, terutama pada musim perayaan.
"Kami berbangga menjadi jenama yang dipercayai untuk pelanggan menghantar wang ke negara mereka dalam waktu yang sibuk ini. Menjadi tanggungjawab kami untuk memastikannya sampai kepada keluarga mereka tepat pada masanya," kata Ramasamy.
Peranan Merchantrade adalah menjangkau pemudahan transaksi kiriman wang dalam jumlah besar memandangkan turut berperanan sebagai "sistem penghantaran di peringkat akhir" yang penting, menghubungkan dan membantu keluarga merentas jarak geografi.
Beliau berkata melalui rangkaian meluas rakan kongsi global, syarikat telah menjalinkan perkongsian langsung dengan entiti utama, yang terdiri daripada lebih 70 rakan kongsi pembayaran, dengan lebih 40 daripadanya adalah bank yang telah dikenali.
Merchantrade sentiasa mewujudkan perkongsian dengan pihak yang sehaluan dengan mereka, yang memahami kepentingan setiap wang yang dikirimkan, katanya.
Melalui misi untuk memperkasa kehidupan pelanggan, perkhidmatan kiriman wang Merchantrade telah muncul sebagai penghubung penting, terutama semasa perayaan Aidilfitri.
Dengan menyediakan akses mudah dan transaksi selamat, Merchantrade memastikan semangat kebersamaan dan murah hati yang merentas sempadan geografi, membolehkan keluarga menyambut Syawal dengan gembira.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Apr 07 2024
Pasaran kiriman wang masuk antarabangsa di Malaysia meningkat 2.9 peratus pada 2022 untuk mencapai AS$1.63 bilion. - Gambar hiasan
Kestabilan politik bawa pembangunan dan kemajuan di Sarawak - TPM Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kestabilan politik telah membawa banyak pembangunan dan kemajuan di Sarawak.
AWANI Ringkas: Faisal Halim tunjuk perkembangan positif
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Kerjasama Malaysia-Uzbekistan tawar potensi amat besar - PM Anwar
Kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan menawarkan potensi amat besar yang boleh mentransformasikan dan memodenkan pembangunan ekonomi kedua-dua negara serta menarik pelaburan, kata Perdana Menteri D
Warga emas tunai haji selepas lima kali terima 'jemputan'
Walaupun tanpa peneman, namun ia tidak menghalang dirinya daripada menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah) bagi musim haji 1445H/2024.
Pemimpin Israel berpecah kerana tadbir urus Gaza pasca perang
Netanyahu juga berada di bawah tekanan Washington untuk mengakhiri konflik dengan segera.
Haji: Petugas media main peranan penting tangkis berita tidak benar
Perkara itu perlu bagi memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di Tanah Suci kepada rakyat Malaysia.
AWANI Pagi: Berita tumpuan & menarik di astroawani.com [19 Mei 2024]
Antara fokus AWANI Pagi bersama Nursyazwani Saiful Sham & Azib Zikry
- Serangan Ulu Tiram: Tiada kaitan kumpulan pengganas
- Menjelang HAWANA 2024: Kesihatan mental petugas media
- The Experts: Pelakon hebat, genre berbeza
- Serangan Ulu Tiram: Tiada kaitan kumpulan pengganas
- Menjelang HAWANA 2024: Kesihatan mental petugas media
- The Experts: Pelakon hebat, genre berbeza
Mangsa banjir di Perak menurun pagi ini, 100 mangsa masih di PPS
Lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di dua daerah terjejas iaitu empat di Taiping dan satu di Kuala Kangsar.
Klopp kini di media sosial
Bekas pengendali Borussia Dortmund berusia 56 tahun itu yang kini mempunyai akaun Instagram telah mengumpul lebih 750,000 pengikut.
Biadab, pijak al-Quran bersumpah tidak curang
Dia bertindak sedemikian hanya kerana mahu membuktikan tidak berselingkuh dengan seorang doktor kecantikan.
Kiriman wang ke luar negara ceriakan sambutan Aidilfitri
Pasaran kiriman wang masuk antarabangsa di Malaysia meningkat 2.9 peratus pada 2022 untuk mencapai AS$1.63 bilion.
Kiriman wang pekerja Indonesia di luar negara cecah AS$9.8 bilion setahun
Purata kiriman wang pekerja Indonesia dari 2015 hingga 2019 mencecah US$9.8 bilion setiap tahun, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto.